Sejarah Ringkas Bahasa Melayu

Oktober 28, 2010 Tinggalkan komen

Saya ingin memulakan perkongsian kita dalam blog ini dengan subjek Bahasa Melayu. Bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan di Malaysia sebagaimana termaktub dalam Artikel 152, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Oleh itu, pengetahuan yang mendalam tentang bahasa Melayu perlu disemai dalam kalangan kita kerana bahasa ini merupakan salah satu lambang rakyat Malaysia. Kita mulakan dengan penerangan ringkas tentang bahasa Melayu:

Bahasa Melayu ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia dan persekitarannya sejak melebihi 1000 tahun lalu lagi. Walaupun asal usul yang paling asas belum diketahui secara pasti, tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal daripada Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 628 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia dan Brunei serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Malaysia, bahasa Melayu kini dikenali sebagai bahasa Malaysia dan di Indonesia pula dikenali sebagai bahasa Indonesia. Selain keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga dituturkan oleh penduduk-penduduk Melayu di Kemboja, Thailand Selatan, Filipina, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa bahasa di dunia selepas bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti seantero dunia seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan lain-lain.

Mengingati fakta mengenai susur galur bahasa Melayu bukanlah perkara mudah. Oleh itu, saya telah menyediakan bahan bukan linear untuk memberi gambaran jelas mengenai bahasa Melayu. Malah, saya turut sertakan beberapa formula bagi memudahkan anda mengingati fakta-fakta yang disediakan. Memandangkan tajuk ini merupakan tajuk pertama saya, penrkongsian gambar rajah belum dapat saya lakukan kerana tugas itu memerlukan masa yang agak panjang. Oleh itu, saya hanya berkongsi formula mudah untuk mengingati asal usul bahasa Melayu.

Formula yang telah saya sediakan ialah:
1. MeNu PoliMik = Melanesia, Nusantara, Polinesia, Mikroasia

Sekian sahaja buat masa ini. Tajuk akan disambung pada masa hadapan (Insya Allah).

Langkah pertama

Oktober 8, 2010 Tinggalkan komen

Salam integrasi. Blog perkongsian ilmu ini masih dalam proses pengenalan. Kesabaran anda saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Saya berharap agar anda dapat menyebarkan kepada rakan-rakan anda tentang blog ini sebagai langkah pertama untuk menjayakan perkongsian ilmu kita bersama.

Kategori:Uncategorized Tag: